Khamis, 16 April 2009

Siapa Alexander Agung Sebenarnya..!?

Peta Empayar Alexander Agung

Alexander Agung,

Alexander Agung (Alexander III dari Macedonia; bahasa Greek Μέγας Αλέξανδρος, ditransliterasikan sebagai Megas Alexandros; Julai 356 SM - 10 Jun 323 SM) dianggap sebagai salah satu daripada komander yang amat berjaya dalam sejarah dunia. Beliau menakluk hampir seluruh dunia yang dikenali oleh orang Yunani sebelum kematiannya.
Selepas penyatuan kesemua negara kota Yunani di bawah pemerintahan ayahandanya, Philip II dari Macedonia, (suatu tugas yang Alexander terpaksa ulangi kerana orang Yunani selatan memberontak selepas kematian Philip), Iskandar menakluk Empayar Parsi, termasuklah Anatolia, Syria, Phoenicia, Gaza, Mesir, Bactria, serta Mesopotamia, dan memperluaskan sempadan empayarnya sehingga kawasan Punjab. Alexander menyerap orang-orang asing (bukan orang Macedonia dan Yunani1) ke dalam angkatan tentera dan pentadbirannya, dan oleh itu, menyebabkan sebilangan cendekiawan memberikan penghargaan kepadanya untuk "polisi pergabungan". Beliau menggalakkan perkahwinan antara askar-askarnya dengan orang-orang asing, serta turut mengamalkan galakannya itu. Selepas dua belas tahun kempen tentera yang berterusan, Alexander meninggal dunia, mungkin disebabkan oleh demam malaria atau tifoid, atau juga virus ensefalitis. Penaklukannya mengambil kira penempatan orang Yunani serta pemerintahan kawasan asing selama berabad-abad lamanya dan tempoh itu dikenali sebagai Zaman Yunani. Alexander terus dikenang dalam sejarah dan mitos kebudayaan Yunani serta bukan Yunani. Semasa hidupnya dan khususnya, selepas kematiannya, kehandalan Alexander telah menjadi ilham sebuah tradisi kesusasteraan yang mana beliau muncul sebagai wira legenda dalam tradisi Achilles.

Alexander juga dikenali:
dalam Arda Wiraz Nāmag, sebuah karya bahasa Parsi Zaman Pertengahan Zoroaster, sebagai "Alexander Keji" kerana penaklukan Empayar Parsi serta pemusnahan ibu kota Persepolis. Bagaimanapun, dalam tradisi Parsi kemudian sehingga Iran pada hari ini, beliau telah dikenali sebagai Eskandar dan juga disanjung sewaktu pembinaan Dinding Agung Sadd-e Eskandar oleh Dinasti Parthia.
dalam tradisi-tradisi Timur Tengah sebagai Dhul-Qarnayn dalam bahasa Arab, dan Dul-Qarnayim dalam bahasa Ibrani dan bahasa Aramia (bertanduk dua), kerana gambarnya pada duit-duit syiling yang ditempah semasa pemerintahannya kelihatan seakan-akan dua tanduk biri-biri jantan Amun yang merupakan salah satu daripada dewa Mesir.
sebagai Sikandar dalam bahasa Hindi; istilah "Sikandar" digunakan di India sebagai sinonim untuk "pakar" atau "terlalu mahir".


Arca Iskandar Agung
Kehidupan Awal,

Alexander Agung ialah anak kepada Maharaja Philip II dari Macedonia dan Puteri Olympias dari Epirus. Menurut Plutarch (Alexander 3.1,3), Olympias dibuntingkan oleh Zeus Ammon, dan bukannya Philip yang takut akan Olympias dan kegemaran Olympias untuk tidur dengan ular. Plutarch (Alexander 2.2-3) menceritakan bahawa kedua-dua Philip dan Olympias bermimpi tentang anak yang akan dilahirkan. Olympias bermimpi tentang dentuman guruh dan kilat yang memanah rahimnya. Dalam mimpi Philip, baginda mengecap rahim isterinya dengan mohor singa. Berasa cemas oleh mimpi-mimpi itu, baginda berunding dengan peramalnya, Aristander dari Telmessus, yang menentukan bahawa isterinya hamil dan anaknya akan mempunyai sifat singa. Menurut lima orang ahli sejarah kuno (Arrian, Curtius, Diodorus, Justin, dan Plutarch), selepas lawatannya ke tempat keramat Amun di Siwa, khabar-khabar tersebar bahawa ramalannya telah mendedahkan ayahanda Iskandar sebagai Zeus, dan bukannya Philip. Menurut Plutarch (Alexander 2.1), ayahandanya adalah dari keturunan Heracles melalui Caranus, dan ibundanya dari keturunan Aeacus melalui Neoptolemus dan Achilles.
Aristotle ialah guru peribadi Alexander. Beliau memberikan latihan yang teliti kepada Iskandar dalam bidang retorik dan kesusasteraan serta merangsangkan minatnya terhadap sains, perubatan dan falsafah. Aristotle juga memberikan beliau sebuah salinan Illiad dan sebilah pisau yang beliau sentiasa sorokkan di bawah bantal pada waktu malam.

Kebangkitan Macedonia,

Ketika Philip mengetuai serangan terhadap Byzantium pada 340 SM, Alexander yang berumur 16 tahun dilantik untuk memerintah Macedonia. Pada 339 SM, Philip mengambil isteri kedua, dan menyebabkan ibunda Alexander, Olympias, berasa sedih. Ini pula menyebabkan perkelahian antara Alexander dengan ayahandanya, sehingga pewarisan takhta Alexander terhadap Macedonia hampir-hampir terjejas.
Pada tahun 338 SM, Philip mencipta Liga Corinth. Alexander juga membantu ayahandanya dalam Perang Chaeronea yang berlaku pada tahun itu. Sayap pasukan askar berkuda yang diketuai oleh Iskandar memusnahkan Kumpulan Suci dari Thebes, kor elit yang sebelum itu dianggap tidak dapat dikalahkan. Philip berpuas hati dengan merampas Boeotia daripada Thebes dan meninggalkan sekumpulan garison di dalam kubu kota.

Alexander Agung bertempur dengan Maharaja Parsi, Darius III (tiada dalam gambar). Gambar itu merupakan sebahagian daripada lukisan Yunani abad ke-3 SM, Mozek Alexander, yang berasal dari Pompeii tetapi kini telah hilang.
Pada tahun 336 SM, Philip dibunuh sewaktu menyertai istiadat perkahwinan anak perempuannya, Cleopatra dari Macedonia, dengan Maharaja Alexander dari Epirus. Pembunuhnya, Pausanias yang merupakan seorang bangsawan muda yang bersungut, dikatakan bekas kekasih Philip yang berdendam dengannya kerana baginda tidak mengendahkan satu rungutan yang dikemukakan olehnya. Pada suatu masa, pembunuhan Philip dianggap telah dirancang dengan pengetahuan dan penglibatan Alexander atau Olympias. Lagi satu kemungkinan adalah Darius III yang merupakan Maharaja Parsi yang baru sahaja menaiki takhta. Plutarch menyebut sepucuk surat berang dari Alexander kepada Darius yang menyalahkan Darius dan wazir agungnya, Bagoas, terhadap pembunuhan ayahandanya. Surat itu menyatakan bahawa Darius ialah orang yang bercakap besar dengan bandar-bandar Yunani tentang bagaimana baginda dapat membunuh Philip.

Selepas kematian Philip, angkatan tentera mengisytiharkan Alexander yang berumur 20 tahun sebagai maharaja baru untuk Macedonia. Bandar-bandar Yunani seperti Athens dan Thebes, yang telah dipaksa berikrar untuk taat setia kepada Philip, melihat maharaja baru itu sebagai peluang untuk menuntut balik kemerdekaan penuh mereka. Alexander bertindak dengan pantas dan Thebes, yang paling aktif menentanginya, menyerah sewaktu baginda muncul di depan pintu kotanya. Orang-orang Yunani yang berhimpun di Segenting Corinth, dengan kekecualian Sparta yang tunggal, memilihnya sebagai komander untuk menentangi Parsi. Darjah kebesaran itu dahulunya telah dikurniakan kepada ayahandanya.
Pada tahun yang berikut, iaitu 335 SM, Alexander berasa lapang untuk bertempur dengan Thrace dan Illyria supaya dapat memperoleh Danube sebagai sempadan utara untuk kerajaan Macedonia. Sewaktu baginda berkempen dengan berjaya di utara, orang Thebes dan Athens memberontak sekali lagi. Alexander bertindak balas dengan segera, dan sewaktu bandar-bandar yang lain teragak-agak tentang apa yang hendak dibuat selanjutnya, Thebes memutuskan untuk menentang dengan segala keupayaan mereka pada kali ini. Penentangan itu sia-sia; pada akhirnya, bandar itu ditewas dengan banyak petumpahan darah. Orang-orang Thebes menghadapi penderitaan yang amat teruk sewaktu bandar mereka dibakar dan wilayah mereka dibahagikan kepada bandar-bandar Boeotia. Tambahan pula, kesemua orang-orang bandar itu dijual sebagai hamba, kecuali bagi pendeta-pendeta, ketua-ketua parti pro-Macedonia dan keturunan-keturunan Pindar yang merupakan rumah tunggal yang tidak dikacau. Pengakhiran Thebes menakutkan Athens untuk menyerah, dan Athens sanggup menerima desakan Alexander untuk membuang semua ketua parti anti-Macedonia, terutamanya Demosthenes.

Ilustrasi Alexander Agung Dengan Kuda Kesayagannya Bernama Bucephalus

Tempoh penaklukan,

Angkatan tentera Alexander melintasi Hellespont dengan kira-kira 35,000 orang askar yang terdiri khusus daripada orang Macedonia dan orang Yunani, dan termasuk juga sebilangan orang Thrace, Paionia dan Illyria. Selepas kemenangan awal menentang angkatan Parsi dalam Perang Granicus, Alexander menerima penyerahan kalah oleh ibu kota daerah Parsi serta perbendaharaan Sardis dan menuju ke arah pantai Ionia. Di Halicarnassus, Alexander berjaya membuat pengepungan yang pertama dari bayang yang berikutnya, dan akhirnya memaksa musuhnya, Memnon dari Rhodes yang merupakan kapten askar upahan dan Orontobates, pelindung Parsi dari Caria, untuk berundur melalui laut. Alexander meninggalkan Caria dalam tangan Ada (perempuan) yang merupakan pemerintah Caria sebelum digulingkan oleh adiknya, Pixodarus. Dari Halicarnassus, Alexander menuju ke Lycia yang bergunung-ganang serta dataran Pamphylia, dan mengawal semua bandar di persisiran pantai. Oleh sebab tiada pelabuhan yang utama dari Pamphylia, Alexander menuju ke pedalaman.

Lukisan untuk arca kecil askar Yunani yang diperoleh dari tapak perkuburan abad 4-3 SM di yang terletak di utara Tian Shan. Tian Shan merupakan kemaraan Alexander yang paling jauh di Timur (Muzium Xinjiang, Ürümqi, China).

Di Termessus, Alexander menundukkan Pisidia, tetapi tidak menggempur bandar itu. Di Gordium, ibu kota Phrygia kuno, Alexander "menguraikan" Simpulan Gordius (Gordian Knot), satu pencapaian dalam menunggu bakal "raja Asia". Menurut cerita yang paling jelas, Alexander mengisytiharkan bahawa cara untuk membuka simpul itu tidak mustahak, dan menetak simpul itu dengan pedangnya. Satu versi lain mendakwa bahawa baginda tidak menggunakan pedang, tetapi tahu akan cara untuk membukanya.
Angkatan tentera Alexander merentasi Genting Cilicia, bertemu dan menewaskan angkatan tentera Parsi yang utama di bawah arahan Darius III dalam Perang Issus pada tahun 333 SM. Darius melarikan diri dan meninggalkan isteri, anak-anak dan ibundanya, bersama-sama dengan kebanyakan harta peribadi. Sisygambis, ibunda Darius, tidak pernah memaafkan Darius kerana meninggalkannya. Oleh kerana itu, beliau tidak mengaku Darius sebagai anaknya dan sebaliknya, mengambil Alexander sebagai anak angkat. Menuju pantai Mediterranean, baginda menakluk Tyre dan Gaza selepas melakukan pengepungan-pengepungan yang termasyhur (sila lihat Pengepungan Tyre). Alexander melalui berhampiran (mungkin tidak mengunjungi) Al Quds (Jerusalem).

Dari 332 SM sehingga 331 SM, Alexander dialu-alukan sebagai pembebas dalam Mesir dan baginda diisytiharkan sebagai anak Zeus oleh pendeta-pendeta Amun, dewa Mesir, di tempat keramat dewa itu yang terletak di Siwa di gurun Libya. Iskandar mengasaskan Alexandria di Mesir yang kemudian menjadi ibu kota yang makmur untuk Dinasti Ptolemy selepas kemangkatannya. Selepas meninggalkan Mesir, Alexander menuju ke arah timur ke Assyria (kini Iraq utara) dan menewaskan Darius dan angkatan tentera Parsi yang ketiga di Perang Gaugamela. Darius terpaksa melarikan diri selepas pemandu ratanya dibunuh, dan Iskandar mengejarnya hingga keArbela. Sewaktu Darius lari melintasi gunung-ganang ke Ecbatana (Hamadan moden), Iskandar menuju ke Babylon.

Dari Babylon, Alexander pergi ke Susa yang merupakan salah satu ibu kota Achaemenid, dan menawan perbendaharaannya. Dengan menghantar sebahagian besar angkatan tenteranya ke Persepolis, ibu kota Parsi, melalui Jalan Diraja, Iskandar menawan Genting Parsi (di Gunung-ganang Zagros moden), dan kemudiannya memecut ke Persepolis sebelum perbendaharaannya dirampas. Alexander membenarkan angkatan-angkatan Liganya untuk merampas Persepolis. Kebakaran terjadi di bahagian timur istana Xerxes dan merebak ke seluruh bandar. Tidak diketahui adakah kebakaran itu merupakan kemalangan mabuk ataupun tindakan sengaja yang diambil sebagai membalas dendam bagi kebakaran Akropolis Athen sewaktu Perang Parsi Kedua. Buku Arda Wiraz yang merupakan karya Zoroaster yang disusun pada abad ke-3 atau ke-4, juga menggambarkan arkib-arkib yang mengandungi "semua Avesta dan Zand yang ditulis di atas kulit-kulit lembu, dan dengan dakwat emas" telah dimusnahkan; bagaimanapun, kenyataan ini sering diterima oleh para cendekiawan dengan sedikit skeptisisme, kerana secara amnya, Avesta telah dianggap selama berabad-abad bahawa ia diturunkan secara lisan oleh puak Magi.

Mozek Pompei yang menggambarkan Alexander bertempur dengan Darius di Perang Issus.
Alexander kemudian bertolak untuk mengejar Darius yang diculik dan kemudiannya dibunuh oleh pengikut-pengikut Bessus, iaitu pelindung dan saudara Bactrianya. Bessus kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai waris Darius dengan nama "Artaxerxes V", dan berundur ke Asia Tengah untuk melancarkan kempen gerila terhadap Alexander. Dengan kematian Darius, Alexander mengisytiharkan penamatan perang balas dendam, dan melepaskan sekutu-sekutunya daripada perkhidmatan dalam kempen Liga. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin berkhidmat semula sebagai askar upahan dalam angkatan tentera maharajanya akan dibenarkan).

Kempen Iskandar selama tiga tahun menentang Bessus buat permulaanya dan kemudiannya Spitamenes, pelindung Sogdiana, membawanya ke Media, Parthia, Aria, Drangiana, Arachosia, Bactria, dan Scythia. (Pada akhirnya, kedua-dua tokoh itu dikhianati oleh orang-orang sendiri, Bessus pada tahun 329 SM dan Spitamenes pada tahun yang berikutnya.) Dalam proses itu, Iskandar menewaskan dan mengasaskan semula Herat dan Maracanda. Tambahan pula, Iskandar juga mengasaskan satu siri bandar-bandar yang baru, kesemuanya digelarkan "Alexandria", termasuknya Kandahar moden di Afghanistan, dan Alexandria Eschate (diterjemahkan sebagai "Alexandria yang Paling Jauh") di Tajikistan moden.

Permusuhan terhadap Iskandar,

Ketika itu, Iskandar mengamalkan beberapa unsur pakaian dan adat resam Parsi di dalam istananya, terutamanya adat proskinesis, iaitu ciuman tangan yang orang Parsi memberikan kepada orang atasan sebagai simbol rasa hormat, tetapi amalan itu tidak disetujui oleh orang Yunani. Orang-orang Yunani menganggap bahawa perbuatan itu hanya dikhaskan untuk dewa-dewa, dan percaya bahawa Iskandar bermaksud hendak menjadikan dirinya sebagai dewa. Ini menyebabkan baginda bukan sahaja kehilangan sebahagian besar sokongan daripada teman-teman senegerinya, tetapi juga menyebabkan komplot terhadap nyawanya. Philotas, seorang teman pasukan askar berkudanya, dihukum mati atas tuduhan penderhakaan kerana tidak sengaja telah gagal menarik perhatian Iskandar terhadap komplot itu. Parmenion, ayahanda Philotas yang merupakan ketua angkatan tentera di Ecbatana, dibunuh atas perintah Iskandar kerana baginda bimbang bahawa Parmenion mungkin akan membalas dendam terhadap kematian anaknya.

Banyak perbicaraan penderhakaan menyusul, dan ramai orang Macedonia dihukum mati. Kemudian, dalam perkelahian mabuk di Maracanda, Iskandar juga membunuh Clitus si Hitam, seorang yang pernah menyelamatkan nyawa baginda di Granicus. Dalam kempen Asia Tengah, komplot kedua terhadap nyawa Iskandar oleh salah seorang suruhan peribadinya didedahkan. Callisthenes dari Olynthus, seorang ahli sejarah rasmi yang tidak lagi disayangi oleh Iskandar kerana mengetuai penentangan untuk memperkenalkan proskinesis telah dibabit. Kebanyakan ahli sejarah menganggap bahawa tuduhan-tuduhan terhadapnya adalah dibuat-buat. Bagaimanapun, terdapat bukti yang kukuh bahawa Callisthenes, yang merupakan guru untuk orang-orang suruhan, pasti memujuk mereka untuk membunuh maharaja mereka.

Serangan India,

Pada tahun 326 SM, selepas kematian Spitamenes dan perkahwinannya dengan Roxana ( bahasa Bactria: Roshanak) untuk mengeratkan persahabatan dengan pelindung-pelindung barunya dari Asia Tengah, Alexander akhirnya berasa lapang untuk mengalihkan perhatiannya ke atasIndia. Maharaja Ambhi, pemerintah Taxila, menyerahkan bandarnya kepada Iskandar tanpa pertempuran. Ramai penduduk lari ke bandar berkubu Aornos, dan Iskandar menawan bandar itu dengan kekerasan.

Duit syiling yang dicetak di Babylon untuk memperingati kempen-kempen Iskandar di India, pada sekitar 323 SM.Kepala syiling: Alexander berdiri dengan bersenjata penuh sewaktu dimahkotai oleh Nike, serta memegang Zeus, dewa petir.Ekor syiling: Penunggang Yunani, kemungkinan Alexander, menyerang gajah perang India, mungkinnya semasa perang Porus.
Alexander bertempur dalam perang agung menentang Porus, seorang pemerintah untuk kawasan Punjab dalam Perang Hydaspes pada tahun itu. Selepas mencapai kejayaan, Alexander membuat perikatan dengan Porus dan melantik pemerintahnya sebagai pelindung untuk kerajaannya. Alexander kemudian menamakan salah satu daripada dua buah bandar yang baru diasaskannya sebagai "Bucephala", untuk menghormati kuda yang membawanya ke India. Alexander meneruskan penaklukan ke atas semua punca-punca sungai yang mengalir ke Sungai Indus.

Di timur kemaharajaan Porus yang berdekatan dengan Sungai Ganges, terletaknya sebuah empayar Magadha yang sangat kukuh yang diperintah oleh Dynasti Nanda. Oleh kerana takut terhadap prospek untuk menghadap lagi seangkatan tentera India yang amat kuat, serta berasa amat letih selepas kempen bertahun-tahun, angkatan tentera Alexander memberontak dan enggan bergerak lagi ke timur. Selepas perjumpaannya dengan Coenus, pegawainya, Alexander diyakinkan untuk kembali. Baginda dipaksa membelok ke arah selatan dan dari sana, baginda menakluk kesemua kawasan di Indus sehingga Lautan India. Alexander menghantar Jeneral Craterus dengan sebahagian besar angkatan tenteranya ke Carmania (Iran selatan moden), dan memerintah seangkatan kapal di bawah Laksamana Nearchus untuk menerokai pesisir Teluk Parsi. Baginda mengetuai tentera-tentera yang tinggal untuk kembali ke Parsi melalui Gedrosia (kini, Makran di Pakistan selatan) di arah selatan.

Selepas India,

Alexander dan Porus oleh Charles Le Brun, 1673.
Selepas mendapat tahu bahawa ramai daripada pelindung dan gabenor tenteranya telah berkelakuan tidak senonoh semasa ketiadaannya, Alexander menjalankan hukuman mati terhadap sebilangan mereka sebagai contoh untuk yang lain semasa dalam perjalannya ke Susa. Sebagai rasa terima kasih, baginda membayar hutang bagi pihak askar-askarnya, dan mengumumkan bahawa askar-askar yang cukup umur dan yang kehilangan upaya akan dihantar balik ke Macedonia di bawah Craterus. Askar-askarnya salah faham akan maksudnya dan memberontak di bandar Opis, dan menolak perintah untuk dihantar balik. Mereka juga mengkritik dengan perasaan pahit terhadap pengamalan adat-adat resam dan pakaian Parsi, serta penyerapan masuk pegawai-pegawai dan askar-askar Parsi ke dalam unit-unit Macedonia. Iskandar menjalankan hukuman mati ke atas ketua kumpulan pemberontak itu, dan memaafkan orang-orang yang berpangkat rendah.

Dalam percubaannya untuk mencipta keharmonian yang kekal antara orang taklukan Macedonia dan Parsi, Alexander mengadakan kahwin beramai-ramai antara pegawai-pegawai kanannya dengan wanita-wanita bangsawan Parsi dan bangsawan yang lain di Opis, tetapi tidak banyak daripada perkahwinan itu dapat berlanjutan melebihi setahun. Percubaannya untuk menggabungkan kebudayaan Parsi dengan kebudayaan Yunani untuk askar-askar Yunani termasuklah melatih sepasukan rejimen Parsi dalam cara orang Macedonia. Tidak pasti sama ada Alexander pernah menggunakan gelaran kerabat Parsi, shahanshah ("maharaja agung" atau "maharaja antara maharaja-maharaja"), tetapi kebanyakan ahli sejarah percaya bahawa baginda berbuat demikian.

Alexander kemudian mengumumkan tujuannya untuk melancarkan kempen terhadap puak-puak Arab. Selepas mereka tewas, Alexander dianggap akan membelok ke arah barat untuk menyerang Carthage dan Itali. Selepas perjalanannya ke Ecbatana untuk mendapatkan semula sebahagian besar daripada harta karun Parsinya, Hephaestion, teman Alexander yang paling rapat (dan kemungkinan merupakan kekasihnya) mati kerana penyakit. Alexander menjadi tidak keruan dan kembali ke Babylon, di mana baginda jatuh sakit dan kemudian mangkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan